KUCHING: Ketua kontinjen, Mohammad Razi Sitam akur disebalik kejayaan kem Para Sukma Sarawak yang muncul naib juara pada temasya Sukan Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022.

Menurutnya perubahan luar jangkaan yang berlaku itu harus diambil positif, malah beliau yakin atlet daripada kelompok Orang Kelainan Upaya (OKU) itu mampu mencipta kebangkitan pada temasya Para Sukma Johor 2024.

“Pujian harus diberikan kepada semua atlet kerana telah berusaha sebaik mungkin, cuma saingan kali ini menyaksikan Sarawak sekadar muncul naib juara,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutupan Para Sukma XX di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur.

TETAP BANGGA…Mohammad Razi Sitam.

Sambil turut mengucap terima kasih kepada semua pegawai, pengiring serta ibu bapa yang turut memberi sokongan kepada atlet yang terlibat.

Mengulas mengenai prestasi atlet pada kejohanan kali ini, Razi nyata kagum dengan pencapaian cukup hebat mereka.

“Pada dasarnya kontinjen Para Sukma Sarawak masih hebat kerana kekal selaku negeri yang berjaya memperoleh pingat paling banyak iaitu 146 keseluruhan dengan 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa, selain mengungguli dalam beberapa acara sukan serta mencipta rekod baharu kejohanan,” tambah Razi.

Suara Sarawak