SCAN terima mesin ultrabunyi mudah alih bagi pengesanan kanser payudara
Pakar Bedah Kanser Payudara Dr. Sharifah Ashrina Wan Ali menunjukkan demo cara penggunaaan mesin ultrabunyi mudah alih.

KUCHING: Penggunaan mesin ultrabunyi mudah alih untuk kanser payudara diyakini mampu mempertingkatkan keupayaan pengesanan awal penyakit itu dalam kalangan wanita khususnya di luar bandar dan pedalaman.

Penasihat Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) Datin Dayang Mariani Abang Zain percaya dengan kemudahan yang ada akan dapat menjayakan program jangkauan yang bakal diadakan pada Disember ini.

“SCAN akan memulakan program jangkauannya pada bulan Disember dan akan diteruskan tahun depan untuk bersama-sama dengan komuniti di luar bandar dan pedalaman.

“Program itu dijayakan melalui pembiayaan oleh Kesatuan Untuk Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC).

“Kami berharap dapat mewujudkan kesedaran dan kepentingan saringan awal kepada golongan terpinggir”, katanya yang juga bekas penghidap kanser.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan dua unit mesin ultrabunyi mudah alih daripada wakil Latter Day Saints, Elder Roger Baer di Pusat Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG) di Jalan Maxwell di sini, semalam.

Untuk rekod, SBCSG telah menjalankan saringan kepada lebih 1,000 wanita merangkumi 21 perkampungan luar bandar dan 18 kumpulan etnik di Sarawak dalam tempoh 10 tahun.

“Kaedah yang digunakan ialah pemeriksaan klinikal payudara yang dijalankan oleh sukarelawan dan anggota masyarakat,” katanya.

Justeru, dengan adanya bantuan ultrabunyi mudah alih, saringan yang tepat dapat disediakan kepada lebih ramai orang termasuk komuniti luar bandar untuk mengesan penyakit tersebut.

Datin Mariani Abang Zain (tengah) bersama-sama Presiden Scan Chris Cheng menerima mesin ultrabunyi mudah alih pertama di Malaysia oleh Elder Roger Baer di Pusat Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG) di Jalan Maxwell, hari ini.

Suara Sarawak