Azizul Annuar Adenan

KUCHING: Kementerian dan jabatan bertanggungjawab disarankan mengambil tindakan yang perlu bagi menyelesaikan masalah tiga projek tertangguh di kawasan DUN Tanjung Datu.

Tiga projek tersebut, masing- masing Projek Anjung Usahawan Telok Melano, Anjung Usahawan Sematan dan Loji Rawatan Air Sematan (Fasa 2).

ADUN Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan berkata, kelewatan tiga projek tersebut disebabkan oleh spesifikasi tambahan yang diperlukan dan prestasi buruk kontraktor yang dilantik.

“Justeru, saya memohon agar kementerian dan jabatan yang bertanggungjawab mengambil tindakan perlu bagi menyelesaikan masalah projek-projek ini.

“Ia perlu disiapkan untuk pembangunan industri pelancongan di Sematan,” katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN, hari ini.

Tegas beliau, untuk menjadikan Lundu sebagai pusat pelancongan di kawasan selatan Sarawak, pihaknya memerlukan banyak pembangunan dan usaha.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak dalam menyokong pembangunan di kawasan DUN Tanjung Datu.

Suara Sarawak