Tangkap layar… Datuk Roland Sagah ketika membentangkan sesi penggulungan kementeriannya, hari ini.

KUCHING: Projek pembinaan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang terletak di Batu 12 Jalan Kuching-Serian dijangka siap sepenuhnya pada pada suku ketiga tahun 2023.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, status kemajuan projek berkenaan adalah 50.67 peratus setakat ini.

Beliau mendedahkan YSISS pertama yang terletak di Petra Jaya itu telah mula beroperasi secara rasmi pada 4 April 2022 dan latihan pengambilan awal telah menarik 1,261 pemohon yang mana, 761 daripadanya menduduki peperiksaan kemasukan.

“Bagaimanapun, disebabkan kekangan kapasiti, kampus hanya boleh menerima 115 pelajar dari seluruh Sarawak untuk kumpulan pertama.

“Setelah dibangunkan sepenuhnya nanti, kampus ini akan mempunyai kapasiti 500 pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 11 yang setara dengan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Bagi projek pembinaan YSISS di Sibu pula, Adun Tarat itu mendedahkan bahawa pembinaannya disasarkan akan dimulakan pada suku pertama 2023, dan dijangka siap pada Julai 2024.

Manakala katanya kedua-dua YSISS Bintulu dan Miri kini dalam peringkat perancangan.

 

Suara Sarawak