Berucap….Awang Tengah berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Platinum ke-70 SCCI.

KUCHING: Sektor swasta harus memainkan peranan mereka dalam membantu Kerajaan Sarawak merealisasikan visi untuk menjadikan negeri berpendapatan tinggi.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, sektor swasta mesti mengikuti perkembangan terkini pembangunan ekonomi serta mengadaptasi Revolusi Industri (IR) 4.0 dalam kekal kompetitif.

“Peranan kerajaan adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan membantu perniagaan berkembang dan maju.

“Namun sektor swasta adalah enjin pertumbuhan yang harus proaktif untuk merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Platinum ke-70 SCCI di sini malam tadi.

Majlis disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sementara, beliau memberitahu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara dan penyumbang penting ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

“Situasi yang sama juga di Sarawak. Di belakang kejayaan ini adalah kerja keras dan masa yang panjang dilakukan oleh usahawan ini untuk memastikan perniagaan mereka berkembang,” ujarnya.

Untuk itu katanya, Anugerah Keusahawan Tahunan Sarawak (EOYS) adalah untuk mengiktiraf kejayaan usahawan dalam bidang masing-masing dan sumbangan kepada tanggungjawab sosial korporat.

Suara Sarawak