KUCHING: Bermula 26 November ini, Agritek kembali ke TVS dengan musim kedua dan kali ini para penonton diajak untuk menyelami perjalanan dan aspirasi usahawan tani moden Sarawak.

Menurut kenyataan medianya, rancangan siri dokumentari arahan Imraan Abdol Rahim daripada idea asal Muhammad Izzat Jailani terbitan TVS ini merupakan program Pitch-It untuk Agritek Musim Kedua.

Agritek memaparkan pengusaha, petani dan penternak moden yang menghasilkan produk menggunakan teknologi moden dalam usaha mereka merancakkan lagi ekonomi negeri Sarawak.

“Rancangan ini sedikit sebanyak akan membantu dan memberi impak yang kuat kepada pengusaha industri agrikultur di Sarawak selain memberi inspirasi kepada anak muda Sarawak yang ingin berkecimpung dalam bidang agrikultur,” kata Muhammad Izzat.

Tambahnya, hal ini juga sejajar dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meningkatkan kualiti industri pertanian dan penternakan dalam negeri dan melangkah ke peringkat antarabangsa dengan menggunakan pelbagai peralatan yang moden.

Siri dokumentari ini yang mengandungi 13 episod bakal memperkenalkan industri berlainan yang wujud dalam sektor pertanian di Sarawak seperti industri ternakan arnab, buah kelapa, burung puyuh, buah tin dan bermacam lagi.

“Penggunaan teknologi moden di dalam bidang pertanian dan penternakan di negeri Sarawak telah menampakan hasil yang membanggakan namun usaha ini akan terbantut jika tidak diwarisi oleh golongan muda,” kata pengarahnya, Imraan Abdol Rahim kepada TVS.

Saksikan ‘Agritek Musim Kedua’ setiap hari Sabtu jam 12:30 petang bermula 26 November 2022, hanya di TVS, saluran 122 Astro, dan MYTV siri dokumentari ini besertakan sarikata dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk semua lapisan masyarakat.

Suara Sarawak