KUCHING: Selepas 24 tahun, akhirnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 itu bukan sahaja menamatkan kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantiannya selama ini.

Anwar yang dilahirkan pada 10 Ogos 1947 bukanlah nama asing dalam sejarah politik negara, anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu pernah terlepas peluang untuk menduduki jawatan nombor satu negara ketika masih bersama UMNO, malah sekali lagi selepas menerajui PKR dan PH.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, istiadat pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 5 petang ini di lstana Negara.

“Keputusan pelantikan itu dibuat setelah Seri Paduka Baginda memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu pada sesi perbincangan khas yang berlangsung bermula jam 11 pagi tadi.

“Perbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkannya membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak, menang semua dan yang kalah tidak, kalah semua.

“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka yang mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” ujarnya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Jelasnya, Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.

Suara Sarawak