Bungkusan-bungkusan dadah yang diseludup ke Kuching menggunakan kargo bas ekspres yang dirampas oleh JKDM menerusi Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya (SJR) di Jalan Sarikei – Sri Aman yang dijalankan pada 26 September hingga 9 Oktober lalu.

KUCHING: Taktik penyeludupan dadah menggunakan bas ekspres terbongkar, apabila sembilan tangkapan berjaya dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menerusi Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya (SJR) di Jalan Sarikei – Sri Aman yang dijalankan pada 26 September hingga 9 Oktober lalu.

Malah, operasi itu turut berjaya menumpaskan cubaan mengedar dadah disyaki jenis Methamphetamine, Ketamin serta Ekstasi bernilai RM1.15 juta.

Pengarah Kastam Sarawak, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 2.18 pagi pada 1 Oktober, apabila anggota operasi menjumpai sebuah kotak yang mengandungi empat peket ‘Fresh Fruit Milk’ dalam bentuk serbuk yang disyaki campuran dadah jenis Ketamin dengan berat anggaran 128 gram serta nilai anggaran RM19,200 dalam kargo sebuah bas yang diperiksa.

“Dalam kotak yang sama, pasukan juga telah menemui dua peket lutsinar yang mengandungi pil disyaki jenis Ekstasi dengan berat anggaran 32 gram serta nilai anggaran RM1,600,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi tangkapan kedua, beliau berkata ia juga dilakukan pada 1 Oktober kira-kira 2.22 pagi apabila anggota operasi menjumpai sebuah kotak yang mengandungi satu peket mengandungi dadah jenis Ketamin dengan berat anggaran 50 gram serta nilai anggaran RM7,500 dalam kargo sebuah bas yang diperiksa.

Selain itu, katanya turut dijumpai sebuah lagi kotak yang mengandungi satu peket berisi serbuk disyaki dadah jenis Ketamin dengan berat anggaran 50 gram serta nilai anggaran RM7,500.

Ahmad Taufik menambah tangkapan seterusnya dilakukan kira-kira jam 4.56 pagi apda 1 Oktober, apabila anggota operasi menjumpai sebuah kotak yang mengandungi dua peket lutsinar berisi dadah jenis Methamphetamine dengan berat anggaran lebih dua kilogram yang dianggarkan bernilai RM73,600 dalam kargo sebuah bas yang diperiksa.

Bungkusan-bungkusan dadah yang diseludup ke Kuching menggunakan kargo bas ekspres yang dirampas oleh JKDM menerusi Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya (SJR) di Jalan Sarikei – Sri Aman yang dijalankan pada 26 September hingga 9 Oktober lalu.

Manakala pada 4 Oktober kira-kira jam 1.30 pagi, pasukan operasi berjaya menjumpai sebuah kotak yang mengandungi tiga peket berisi 100 biji pil disyaki dadah yang dianggarkan seberat 96 gram serta nilai RM4,800 dalam kargo sebuah bas yang diperiksa.

Sementara pada 5 Oktober, jam lebih kurang 11.30 pagi, beliau berkata pasukan operasi menjumpai sebuah kotak yang mengandungi lima botol tidak berlabel berisi 300 biji pil disyaki dadah dengan berat anggaran 160 gram serta nilai anggaran RM24,000 dalam kargo sebuah bas yang diperiksa.

“Dalam pemeriksaan yang sama, pasukan operasi telah menemui sebuah lagi kotak yang mengandungi lima peket ‘Juice Master’ berisi serbuk disyaki campuran dadah jenis Ketamin dengan berat anggaran 160 gram serta nilai anggaran RM24,000,” katanya.

Bagi tangkapan kelapan dan kesembilan, Ahmad Taufik berkata ia dilakukan pada 6 Oktober kira-kira jam 2.33 pagi, apabila pasukan operasi menjumpai sebuah kotak yang mengandungi dua peket lutsinar berisi pil jenis Ekstasi dengan berat anggaran 40 gram serta nilai anggaran RM2,000 dalam kargo sebuah bas yang diperiksa.

Katanya dalam pemeriksaan yang sama turut menemui sebuah lagi kotak yang mengandungi 40 peket ‘Juice Original Papaya Powder’ berisi serbuk disyaki campuran dadah jenis Ketamin dengan berat anggaran 1.4 kilogram serta nilai anggaran RM210,000.

“Susulan daripada operasi yang sama pada 26 September yang lalu melibatkan rampasan sejumlah 100 peket ‘Juice Master’ dalam bentuk serbuk yang disyaki campuran dadah jenis Ketamin bernilai RM384,700, pemeriksaan pihak JKDM tertumpu kepada perkhidmatan bas kargo atau ekspres antara bandar untuk menyekat aktiviti pengedaran dadah di sepanjang laluan utama menuju ke bandar raya Kuching.

“Kebanyakan dadah yang ditemui dibungkus dalam bungkusan kargo bersaiz kecil serta menggunakan peket makanan dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Ahmad Taufik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk membantu pihak Kastam dan kerajaan bagi memerangi jenayah penyeludupan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

Katanya orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Suara Sarawak