MARA KE FINAL…Barisan kesebelasan utama Semarang Village United. – FOTO FAIZAL BUJANG

BETONG: Jaguh yang semakin digeruni, Semarang Village United berjaya melangkah ke final Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022.

Anak-anak Hasla Mos memastikan slot penentuan gelaran juara tersebut selepas membelasah Saratok FA (5-0) yang juga Juara Liga Betong 2022 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong, petang tadi.

Sentuhan penyudah penyerang sensasi, Mohamad Asyraf Radin antara yang mencuri tumpuan apabila meledak dua gol minit ke-47 dan 69 untuk Semarang Village United selesa mendahului (2-0).


REBUT…Ketua pasukan Semarang Village United, Azamuddin Murat (kanan) dan pemain Saratok FA, Mohamad Iqmalrazzie Razaman (kiri) cuba mendapatkan bola pada perlawanan petang tadi. – FOTO FAIZAL BUJANG

Sebelum tiga lagi gol menyusul selepas itu menerusi jaringan Mohamad Azhari Madihi minit ke-71, Abdul Rahman Sahari minit ke-83 dan Muhammad Zikkerul Abdul Kadir minit ke-93.

Semarang Village United boleh melepasi defisit gol terbabit ke atas Saratok FA mengambil kira deretan peluang terhidang sepanjang tempoh 90 minit permainan.

Lawan Semarang Village United di pentas final kelak antara Jang Bukit Saban atau Hermanos FC yang akan turun dalam satu lagi aksi separuh akhir petang esok.

 

Suara Sarawak