ZULKIPLI (kanan) menunaikan tanggungjawabnya ketika proses pengundian awal.

SIBU: Seramai 597 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menunaikan tanggungjawab untuk mengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, proses pengundian awal melibatkan anggotanya diadakan di tiga lokasi membabitkan tiga saluran iaitu Pelawan, Nangka dan Bawang Assan.

“Seramai 597 orang menunaikan tanggungjawab pada pagi ini dan diadakan lebih awal di Wisma Pengaman IPD Sibu serta Balai Polis Sibu Jaya,” ujarnya.

Beliau menambah, undi awal kali ini melibatkan anggota yang sihat sejahtera di IPD Sibu, tiada yang tergolongan dalam kategori kelainan upaya (OKU).

Menurutnya lagi, untuk undi awal ini ia hanya melibatkan pegawai kanan dan anggota sahaja tidak termasuk keluarga, tetapi untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) mereka bersama-sama dengan setiap keluarga.

Ditanya mengenai peraturan baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang larangan tidak boleh menggunakan telefon bimbit di bilik pembuangan undi, Zulkipli menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan peraturan baharu itu.

“Kita perlu ikut sahaja arahan dari pihak SPR, ketentuan undang-undang tersebut adalah prosedur dan SOP yang perlu dipatuhi,” katanya.

Dalam proses pengundian awal berasingan, beliau mengatakan seramai 208 anggota PGA terlibat dalam proses pengundian awal di Kem Lanang.

Suara Sarawak