KUCHING: Pasukan Serian FA berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pusingan akhir Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC/FAS 2022.

Jaguh dari dataran tanah tinggi itu berjaya menumpaskan Sarikei FA (3-1) dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Negeri, Petra Jaya, petang tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan Serian FA merupakan calon pertama yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

KE SEPARUH AKHIR…Pemain Serian FA meraikan kemenangan ke atas Sarikei FA.

Menggumpul tujuh mata, mencatat dua kemenangan dan sekali seri selepas menamatkan tiga perlawanan.

“Lega dengan kemenangan yang diperoleh pemain sebentar tadi.

“Tiga mata yang cukup memadai untuk kami mara ke separuh akhir,” ujar pengurus pasukan, Md. Haical Abdullah kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Haical, keputusan seri jika berjaya diperoleh pada perlawanan tersebut memadai untuk mara.

“Namun, para pemain telah membuktikan segala-galanya dengan memastikan kemenangan milik kami,” tambah Haical.

Gol-gol Serian FA petang tadi dijaringkan Muhammad Shahrul Bohari minit ke-11, Elard George Terry George minit ke-20 dan Mohamad Syah Qabillah Rosli minit ke-26.

Manakala, gol tunggal Sarikei FA dijaringkan Nur Zulfakar Zaini minit ke-38.

Sementara itu, dua perlawanan turut berlangsung pada sebelah pagi tadi.

Kuching FA meneruskan rentak kemenangan mereka apabila mudah menumpaskan Kapit FA (3-0) di Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Selain kemenangan dengan jaringan sama (3-0) dicatat wakil negara jiran, PSSI Kalimantan Barat keatas Limbang FA di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Suara Sarawak