SIMANGGANG: Usaha menempatkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Mohamad Shafizan Kepli, 37, di Parlimen Batang Lupar sejajar dengan hasrat dan agenda parti dalam mengetengahkan bakat muda di peringkat Persekutuan kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi yang juga Pengarah Operasi Parlimen Batang Lupar berkata, kesemua calon GPS di 31 kerusi Parlimen Sarawak adalah selaras dengan agenda parti terutamanya dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengulas mengenai calon baharu itu, beliau percaya Shafizan berpotensi sebagai wakil muda GPS yang akan meneruskan perjuangan dan agenda penting dalam kepimpinan GPS.

SETIA… Rombongan para pemimpin GPS Batang Lupar bersama-sama bekas Ahli Parlimen hadir ke pekarangan PPC Batang Lupar sebagai menyokong calon GPS Parlimen Batang Lupar.

“Saya melihat bahawa pertukaran ini (calon baharu GPS) merupakan agenda utama yang perlu diteruskan.

“Ini kerana kita mahukan suara ahli Parlimen dari Sarawak dan hasrat Kerajaan GPS di Kuala Lumpur mesti jelas kedengaran lebih-lebih lagi usaha menuntut hak berdasarkan MA63,” katanya.

Perkara sama turut ditekankan Adun Beting Maro, Razaili Gapor di samping menegaskan kepimpinan ditampilkan calon muda itu di dalam parti sebelum ini amat membanggakan.

Tambahnya, keperibadian Shafizan sememangnya sudah dikenali ramai khususnya di Cawangan Beting Maro sebagai seorang pemimpin yang dekat di hati belia dan masyarakat.

“Kita dapat seorang calon yang saya rasa cepat belajar dan berpengalaman. Dia antara calon muda kita yang akan meneruskan perjuangan kepimpinan negeri,” katanya.

Dedah Razaili, Shafizan sudah hampir 10 tahun berkecimpung dalam parti dan cawangan khususnya di Beting Maro sekali gus menjadi kekuatan utama dia dipilih sebagai barisan pemimpin pelapis GPS.

Sementara itu, Adun Lingga, Dayang Noraazah Awang Sohor menegaskan pembabitan Shafizan selaku calon muda dijangka akan membawa perubahan besar khususnya pembangunan belia dan infrastruktur Batang Lupar secara keseluruhan.

“Kita mahu GPS dapat menang besar. Sekiranya Shafizan dalam Parlimen, saya pasti banyak perubahan akan berlaku terutama dalam kalangan belia dan pemuda kita,” tegasnya.

Ketiga-tiga Adun di Parlimen Batang Lupar ini juga yakin calon baharu GPS itu mampu mencapai kemenangan besar dalam PRU-15.

Terdahulu, ketiga-tiga Adun bersama-sama bekas Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim hadir ke pekarangan Pusat Penamaan Calon (PPC) Batang Lupar di Pejabat Daerah Sri Aman.

Turut hadir, Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Suara Sarawak