KUCHING: Menyimbah cat pada papan iklan parti antara lapan laporan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diterima polis Sarawak setakat semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, polis menerima laporan dari seorang pengurus sebuah parti politik Parlimen Bandar Kuching telah dimaklumkan mengenai papan iklan parti di Jalan Ban Hock, Kuching disimbah dengan cat warna hitam.

Katanya, empat bungkusan yang mengandungi cat hitam yang digunakan untuk menyimbah papan iklan tersebut telah dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Sementara, satu laporan dibuat oleh ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada jam lebih kurang 8.45 malam yang mendapati poster yang dipasang mereka dijatuhkan oleh individu yang tidak dikenali.

“Pengadu percaya perbuatan tersebut merupakan cubaan sabotaj berlakundi Tanjung Kidurong, Bintulu dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu laporan turut dibuat oleh seorang wakil salah satu parti politik semasa melalui Jalan Utama Kampung Bako.

Katanya, pengadu mendapati beberapa bendera kecil berukuran 1×2 kaki yang diikat dengan tali digantung ditepi jalan telah dipotong dan bendera besar seperti telah ditumbangkan oleh orang yang tidak diketahui.

Beliau memberitahu, satu laporan tangkapan ke atas seorang lelaki di Daerah Kuching bersabit kes yang berlaku pada 13 November lepas atas kesalahan khianat.

“Polis Sarawak turut menerima satu laporan yang berlaku di Kuching dari seorang pengadu sebuah parti politik yang telah menerima Whatsapp dari orang awam dan mendapati video berdurasi 1 minit 29 saat yang dibuat oleh seorang calon dari partinya dalam bahasa cina telah disunting dan diputar belit dari fakta asal.

“Selain itu, satu laporan diterima semasa pengadu membuat pemantauan bendera parti kempen PRU-15 di kawasan Kampung Melayu, Lubok Antu dan telah terlihat satu sepanduk yang bertulis “PN=PAS Nasional X Lubok Antu Enggai !!! Parti Malaya”.

“Pengadu berpendapat sepanduk ini berunsur provokasi dan berunsur memecah belahkan sesuatu kaum di Malaysia,” katanya.

Manakala, beliau berkata, satu laporan diterima dari pengadu mewakili sebuah parti politik di Parlimen Hulu Rajanh yang ketika membuat rondaan mendapati bunting calon GPS Hulu Raianh telah ditanggalkan oleh individu yang tidak dikenali dan sudah dua kali berlaku di tempat yang sama.

Dalam pada itu katany, polis Sarawak telah meluluskan sebanyak 278 permit ceramah dan kempen kepada parti-parti politik di seluruh negeri.

Sehubungan itu katanya, Pesuruhjaya Polis Sarawak menasihatkan parti politik yang bertanding supaya mengingatkan penyokong masing-masing supaya tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah, demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Suara Sarawak