Gambar fail

INISIATIF membantu golongan ibu bersalin, warga emas dan kanak-kanak menunjukkan usaha Kerajaan Sarawak meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, bantuan ini merupakan inisiatif jangka panjang dan pendek untuk membantu rakyat Sarawak.

Katanya, Tabung Endowmen Sarawak (EFS) bagi setiap kelahiran anak Sarawak yang diperkenalkan pada tahun 2019 dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) pada tahun 2020 menunjukkan Kerajaan Sarawak mengiktiraf golongan wanita.

Setakat 31 Mac tahun ini, EFS telah memberi manfaat kepada 65,482 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM65.5 juta. Sementara seramai 42,219 ibu sudah menerima inisiatif yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM19 juta.

Sebagai sistem sokongan masyarakat menua pula, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanakkanak dan Kesejahteraan Komuniti mewujudkan satu inisiatif yang dinamakan Kad Kenyalang Emas (KGC).

Sejak 1 Januari 2020 sehingga 29 Julai lepas, seramai 225,492 warga emas sudah memiliki KGC.

Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak juga telah membelanjakan sebanyak RM27,378,000 untuk 9,126 waris pemegang KGC yang layak.

Selain itu, JKM Sarawak telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM184,418,170 untuk 52,751 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Terdapat lapan skim bantuan yang telah disalurkan iaitu Bantuan Warga Emas (BWE) melibatkan 19,809 kes dengan perbelanjaan (RM86,931,000), Bantuan Kanak-Kanak (7,773 kes) (RM22,531,900), Bantuan Am (10,692 kes) (RM21,537,770), Elaun Pekerja Orang Kelainan Upaya (3,552 kes) (RM 14,050,350), Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (2,205 kes) (RM9,383,000), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (8,699 kes) (RM22,747,800), Bantuan Anak Pelihara (16 kes) (RM47,250) dan Bantuan Belia-Beliawanis (lima kes) (RM3,200).

Daripada lapan jenis skim bantuan, terdapat dua skim bantuan telah ditambah perbelanjaan oleh Kerajaan Sarawak sendiri, iaitu BKK sebanyak RM3,395,900 dan BTB berjumlah RM3,790,100.

Suara Sarawak