KUCHING: Cadangan pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Hulu Kabong Fasa 2 perlu diwujudkan bagi memberi peluang kepada penduduk kampung mendapatkan lot kediaman.

Adun Kabong Mohd Chee Kadir berkata, cadangan ini perlu direalisasikan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

“Kita telah memohon agar diwujudkan SPK Fasa 2, ia adalah untuk memberi lebih peluang kepada penduduk kampung mendapatkan lot kediaman di sini,” katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN,  hari ini.

Ujarnya, pelaksanaan SPK oleh Kerajaan Sarawak termasuk di DUN Kabong adalah salah satu inisiatif penting ke arah usaha kerajaan menyediakan kawasan penempatan yang lebih tersusun dan selesa kepada rakyat.

Dalam masa yang sama katanya, SPK Kampung Hulu Kabong Fasa 1 akan mula diagih selewat- selewatnya pada Januari depan.

“SPK Kampung Hulu Kabong Fasa 1 melibatkan kos sebanyak RM30 juta dengan 205 lot termasuk 200 lot kediaman di tapak seluas 61 ekar sudah selesai pada peringkat penyediaan tapak dan jalan- jalan masuk,” katanya lagi.

Suara Sarawak