Datuk Sri Wong Soon Koh

KUCHING: ADUN Bawang Assan Datuk Sri Wong Soon Koh menggesa kerajaan negeri memansuhkan cukai jualan tayar supaya ia tidak membebankan rakyat.

Katanya, ia susulan banyak aduan diterima daripada peniaga tayar yang meminta kerajaan memansuhkan cukai jualan.

“Saya perhatikan cukai jualan ke atas tayar yang dikutip hanya RM3 juta sahaja. Saya menerima banyak panggilan daripada peniaga tayar yang meminta kerajaan menghapuskan cukai jualan lima peratus ke atas semua jenis tayar,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Wong berkata cukai tersebut juga telah membebankan perniagaan yang berurusan dalam pengangkutan dan logistik.

Mengenai unjuran hasil negeri bagi 2023, Wong berkata kredit perlu diberikan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana berjaya meningkatkan pendapatan negeri selepas mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum.

Bagaimanapun, beliau menyedari pendapatan faedah bagi 2023 telah menurun mendadak kepada hanya RM650 juta.

“Negeri ini diunjur mengutip hasil sebanyak RM11.035 bilion, melepasi RM11 bilion buat pertama kalinya.

“Sejak pengenaan cukai jualan pada 2019, hasil negeri kita setiap tahun telah melepasi RM10 bilion.

“Kredit mesti diberikan kepada Premier Sarawak kita atas usaha kejuruteraan semula pendapatannya. Tetapi saya perhatikan terdapat penurunan mendadak bagi tahun 2023 dalam hasil bukan cukai, iaitu Pendapatan Faedah yang berjumlah hanya RM650 juta,” katanya.

Suara Sarawak