KUCHING: Penubuhan syarikat penerbangan tempatan mampu melonjakkan lagi industri pelancongan di Sarawak, kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata, apabila negeri ini memiliki syarikat penerbangan tersendiri, senang untuk membawa pelancong masuk secara terus ke sini.

“Antara faktor yang menyebabkan industri pelancongan terbantut sedikit adalah penerbangan.

“Kita menghadapi masalah sedikit untuk membawa pelancong masuk. Kita tahu, ramai yang mahu ke sini (Sarawak) tetapi perlu melalui Singapura, Kuala Lumpur dan sebagainya.

Karim (tengah) diapit Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri (kanan) dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman (kiri) ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak.

“Ramai mahu penerbangan secara terus ke negeri ini, dan syukur sekiranya sudah memiliki syarikat penerbangan tersendiri akan memudahkan urusan kemasukan pelancong ke Sarawak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak di Jalan Bako, di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan sememangnya berusaha untuk menubuhkan syarikat penerbangan tersendiri.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah memaklumkan perkara ini sebelum ini dan untuk perkara yang lebih besar, kita tunggu beliau (Abang Johari) maklumkan,” ujarnya.

Terdahulu, Abang Johari mendedahkan bahawa Sarawak sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sebelum syarikat penerbangan butik milik kerajaan negeri yang dikendalikan syarikat Hornbill Skyways ini dibenarkan beroperasi dalam tempoh tiga bulan lagi.

Suara Sarawak