KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) terus mempertahankan kerusi Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu dirasmikan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Stampin, Henry Jalin Watt.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Parlimen Stampin empat penggal berturut-turut di bawah naungan DAP.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen meraih 39,310 undi mengatasi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Lo Khere Chiang 32,152 sekali gus menang dengan majoriti 7,158 undi.

Manakala, calon Parti PSB Lue Cheng Hing hanya akur apabila hilang deposit di kawasan terbabit dengan meraih sebanyak 2,291 undi.

Berdasarkan keputusan itu hanya 61.60 peratus daripada 121,009 pengundi keluar memilih di parlimen itu, selain sebanyak 546 undi ditolak.

Pertembungan tiga penjuru itu antara DAP, SUPP dan PSB menjadikan perebutan kerusi di kawasan panas.

Terdahulu, pada PRU-14, Chieng Jen berjaya meraih undi 33,060 undi sekali gus mengatasi Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) yang mendapat 18,839 undi.

Suara Sarawak