KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) kini mengawal selia sepenuhnya industri perkayuan di Sarawak, termasuk penubuhan dan pengendalian kilang papan yang sebelum ini dikawal selia di bawah Ordinan Hutan 2015 [Cap 71].

Ia susulan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-undang Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pindaan), 2022 hari ini, yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Menurut Len, RUU itu adalah bagi membolehkan peruntukan yang lebih baik untuk pengurusan industri perkayuan negeri ini melalui pengeluaran lesen industri kayu oleh STIDC.

Justeru, katanya STIDC akan memperkukuh pelaksanaan apa yang dinyatakan dalam pindaan itu terutama dalam usaha menambah baik industri hiliran selaras dengan fungsi perbadanan itu, iaitu menerajui pembangunan industri perkayuan di Sarawak.

Salah satu pindaan utama dalam RUU berkenaan ialah pengenalan lesen industri perkayuan bagi menggantikan keperluan pendaftaran bagi industri perkayuan.

Ini memberi kuasa kepada pengurus besar STIDC untuk mengeluarkan lesen pada apa-apa terma dan syarat yang mungkin ditetapkan oleh pengurus besar.

“Peralihan kuasa daripada pengarah Jabatan Hutan kepada pengurus besar STIDC adalah perkara yang betul dan ini membolehkan STIDC mempertingkatkan lagi penyelarasan dan keberkesanan pembangunan industri perkayuan khususnya industri hiliran, apatah lagi penekanan kerajaan semasa terhadap produk kayu bernilai tambah tinggi,” katanya.

Terdahulu, Len berkata lesen industri perkayuan itu akan menjadi lesen tunggal yang dikeluarkan oleh STIDC untuk aktiviti industri perkayuan termasuk penubuhan, pembinaan dan pengendalian kilang papan.

“Ini bertujuan menyempadankan dengan jelas peranan, tugas dan tanggungjawab antara STIDC, Jabatan Hutan dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sekali gus memperkemas fungsi ketiga-tiga agensi di bawah kementerian ini.

“Pengeluaran lesen industri perkayuan akan menjadi mekanisme pengawalseliaan yang lebih holistik untuk mengawal selia industri perkayuan di Sarawak,” katanya.

Beliau menambah RUU itu juga untuk membenarkan pengeluaran permit sementara beroperasi oleh pengurus besar STIDC untuk tempoh terhad dengan ia diperlukan untuk memudahkan penubuhan, pembangunan, operasi atau pengurusan mana-mana kilang atau premis bagi menjalankan sebarang industri perkayuan sementara menunggu pengeluaran lesen industri perkayuan.

“Permit ini juga akan dikeluarkan kepada mereka yang menjalankan industri perkayuan untuk kegunaan domestik,” katanya.

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menambah satu lagi pindaan dalam RUU itu adalah untuk meningkatkan kuasa penguatkuasaan di bawah Ordinan STIDC.

“RUU ini memperuntukkan hukuman yang berat kepada mereka yang didapati bersalah kerana menubuhkan, membina, mengendalikan atau menguruskan mana-mana kilang atau premis kerana menjalankan mana-mana industri perkayuan tanpa lesen industri kayu atau permit sementara.

“Selain itu, RUU ini menyediakan peruntukan bagi mana-mana orang yang ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan untuk dilepaskan dengan bon peribadi dengan atau tanpa penjamin,” katanya.

Selain itu, beliau berkata RUU berkenaan juga untuk mempertingkatkan peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan, pendakwaan dan penalti di bawah Bahagian VII Ordinan; memperuntukkan peruntukan mengenai pelepasan sementara barang yang disita serta penalti bagi kegagalan menyerahkan barang yang disita atas tuntutan oleh pegawai yang diberi kuasa.

Len berkata ia juga memperkenalkan kesalahan memberi pengisytiharan palsu dengan jika kesalahan itu dilakukan oleh individu, denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan atau jika kesalahan dilakukan oleh pertubuhan perbadanan, denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

“Ini akan memastikan produk kayu kami akan terus diterima secara meluas oleh pasaran global kerana ia memenuhi keperluan pengguna untuk pematuhan kesahihan,” katanya sambil menambah dengan sasaran untuk meningkatkan nilai eksport tahunan kepada RM8 bilion menjelang 2030, isu kesahihan mesti diurus dengan baik melalui tadbir urus yang baik dan aktiviti penguatkuasaan yang berkesan.

RUU itu turut dibahaskan oleh enam ADUN iaitu Christopher Gira (GPS-Tamin), Abdul Yakub Arbi (GPS-Balingian), Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga), Sapiee Ahmad (GPS-Daro), Datuk Talib Zulpilip (GPS-Jepak) dan Johnical Rayong Ngipa (PSB-Engkilili).

Suara Sarawak