Len Talif bersama calon GPS Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab terhibur menyaksikan persembahan penduduk dalam majlis bersama rakyat di Dewan Masyarakat Sare, Sarikei.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) akan membangunkan taman agro kedua di seberang Sarikei bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan kawasan itu sebagai pengeluar makanan Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia akan meliputi Bukit Huang, Parit Bugis dan Muara Payang.

Pada peringkat permulaan katanya, projek itu bermula dengan menaiktaraf sistem peparitan dan saliran melalui pembinaan ban.

“Setakat ini, kita mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 4,000 hektar bagi tujuan ini. Pada masa yang sama, kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan untuk menyediakan perkhidmatan feri. Ini merupakan usaha jangka pendek.

“Perlu diingatkan, usaha membangunkan kawasan ini merupakan perancangan jangka panjang yang pastinya akan mengambil masa untuk dilaksanakan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyertai kempen bersama calon GPS Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab sambil bertemu rakyat di sekitar kawasan Sare, di Sarikei.

Suara Sarawak