KOTA SAMARAHAN: Usaha menarik mahasiswa dan mahasiswi Sarawak yang berada di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk turun mengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dipergiat menerusi program kerjasama jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan persatuan pelajar di kedua-dua institusi berkenaan.

Calon GPS merangkap penyandang Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, jaringan komunikasi tersebut digunakan sebagai langkah meningkatkan jumlah pengundi baharu (18 tahun ke atas) untuk turun mengundi di samping menggunakan kaedah mengadakan aktiviti sukan dan riadah kepada masyarakat belia di sini, sejak dua bulan yang lalu.

Tambahnya, usaha sedemikian turut melibatkan pelajar-pelajar Samarahan Tingkatan Enam, sekali gus menyaksikan respons baik oleh golongan sasaran terhadap pendedahan dan peranan mereka dalam pilihan raya ini.

MESRA…Calon GPS Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang (kiri) bergambar bersama-sama pengunjung muda di Uptown DUBS Samarahan ketika mengadakan kunjungan di tapak perniagaan tersebut Jumaat lalu.

“Untuk program melibatkan universiti, setakat ini kita hanya menggunakan media sosial sebagai jaringan komunikasi utama dengan pelajar.

“Misalnya, baru-baru ini kita telah melaksanakan program latihan masyarakat bersama-sama pelajar universiti mengenai kursus kemahiran media sosial iaitu bidang membaiki komputer dan menubuhkan laman aplikasi U-tube.

“Medium sebegini bertujuan memberi sokongan kepada mereka di samping memberi ruang dan peluang bidang tarikan baik kepada pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program menyantuni peniaga-peniaga di perkarangan Uptown Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) cawangan Samarahan, semalam (11 Oktober).

Bagi aktiviti sukan merangkumi futsal, bola sepak dan juga e-sukan, beliau mendedahkan strategi penganjuran sukan sedemikian mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia di kawasan Kota Samarahan.

Menerusi penganjuran program itu katanya, ramai belia turun padang dan memberi pandangan serta cadangan menambah baik apa yang diperlukan oleh mereka.

Suara Sarawak