Tatau bakal dapat limpahan ekonomi.
John Sikie memukul gong simbolik merasmikan program Sarawakku Sayang di Dewan Sukan Tatau, hari ini.

BINTULU : Tatau bakal mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi di Bintulu dengan gelombang kedua pembangunan dirancang untuk industri hiliran minyak dan gas di Tanjung Kidurong.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata l, ketika ini loji metanol milik Sarawak sedang dibina di Tanjung Kidurong, dengan kilang kedua mungkin akan menyusul.

Menurutnya, Petronas dan Shell juga akan menubuhkan kilang pemprosesan gas masam di Tanjung Kidurong.

“Di samping itu, Korea Selatan dan Jepun komited untuk membina loji bagi menghasilkan gas hidrogen yang akan dibeli semula oleh negara-negara berkenaan.

“Saya yakin jika semua projek ini dilaksanakan, penduduk di Tatau juga akan mendapat manfaat daripada kesan limpahannya,” katanya.

John Sikie berucap mewakili Premier Sarawak pada program Sarawakku Sayang di Dewan Sukan Tatau, hari ini.

Abang Johari berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Adun Kakus Datuk John Sikie Tayai ketika mewakili beliau pada program Sarawakku Sayang di Dewan Sukan Tatau, hari ini

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan masih banyak yang perlu dilakukan untuk memberi keselesaan kepada rakyat, khususnya mereka yang tinggal di luar bandar.

“Bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya dan internet, bukan tidak ada, tetapi belum mencukupi.

“Pada lima tahun kebelakangan ini banyak peruntukan yang telah dibelanjakan untuk menyediakan bekalan air dan bekalan elektrik,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan GPS berupaya menyediakan dana yang diperlukan kerana pendapatan negeri meningkat hasil daripada cukai jualan terhadap produk-produk petroleum.

“Sarawak juga mempunyai sumber dana alternatif daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur di seluruh negeri ini, misalnya kawasan Ulu Rajang di bawah URDA yang diperuntukkan RM1.5 bilion untuk membina jalan raya dan menyediakan kemudahan-kemudahan lain,” jelasnya.

 

Suara Sarawak