BERCAKAP…Adun Tebedu, Dr Simon Sinang

KUCHING: Tebedu berpotensi menjadi salah sebuah kawasan penting dalam pengeluaran sumber makanan di Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebedu Dr Simon Sinang.

Susulan itu, beliau menyeru agar Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) mengenal pasti lokasi Tebedu yang sesuai untuk terlibat dalam pengeluaran daging lembu dan kambing.

“Kita teruja untuk memaklumkan bahawa M-FICORD telah mengambil beberapa langkah konkrit dan inisiatif ke arah sara diri pengeluaran daging dan kambing.

“Adalah menjadi kebanggaan bahawa kita berjaya berdikari dalam pengeluaran ayam, telur dan daging khinzir.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan bagi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tegas Simon, isu bekalan dan keselamatan makanan serta ciptaan pendapatan terhadap komuniti asas para petani perlu diberi perhatian sewajarnya.

Dalam perkembangan lain, Simon sekali lagi membangkitkan mengenai klinik dan fasiliti kesihatan di Tebedu yang perlu dinaik taraf.

Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk melihat secara serius keadaan tersebut bagi memastikan kesihatan berkualiti khususnya penduduk luar bandar.

Suara Sarawak