SARAWAK mengorak langkah mengeksplorasi tenaga hijau sebagai sumber pendapatan
baharu untuk negeri ini.

Di samping itu, dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak mempromosi tenaga hijau dan teknologi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan menarik kepada pelabur.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg percaya Sarawak akan menjadi pemain utama dalam penghasilan tenaga hijau.

Katanya, dengan mempelbagaikan sumber yang boleh memberikan pendapatan, sekali gus mampu membantu menjana hasil tambahan yang mengukuhkan ekonomi negeri ini.

“Kekuatan Sarawak adalah tenaga.

Negeri ini mempunyai air menghasilkan kuasa hidrogen, solar terapung, termasuk penanaman alga melalui air dan cahaya matahari.

“Itulah sebabnya kita meminda Kanun Tanah untuk memanfaatkan kelebihan struktur geologi kita menjadi kekuatan dalam ekonomi baharu yang berasaskan idea beralih kepada ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Dengan kata lain, dalam semua spektrum tenaga, Sarawak mempunyai sumber dan perkara terpenting untuk memanfaatkannya adalah bagaimana untuk menginovasikan dan membawa perubahan kepada ekonomi kita,” katanya.

Dasar kerajaan yan jelas terhadap sumber tenaga diperbaharui turut menarik perhatian negara-negara lain.

Ia terbukti apabila Abang Johari dijemput berucap pada Forum Hidrogen Dunia di Rotterdam, Belanda Mei 2022, Korea Selatan pada September dan hadir sebagai panel forum perubahan iklim di Tokyo Jepun pada Oktober 2022 serta Singapura baru-baru ini.

Selain itu, beberapa syarikat terkemuka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Sarawak Energy.

Justeru beliau berkata, Sarawak perlu melahirkan tenaga mahirnya sendiri bagi memastikan kejayaan agenda ekonomi berasaskan tenaga hijau ini.

Katanya, amat penting bagi rakyat Sarawak untuk sama terlibat dalam industri ini.

“Oleh itu Sarawak perlu mempunyai institusi pengajian tinggi, pusat latihan vokasional dan pusat latihan kemahiran khas untuk menjana kemahiran dalam teknologi baharu ini,” katanya.

Suara Sarawak