Sagah menunjukkan ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan DUN, hari ini. (Alif Noni)

KUCHING: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn menegaskan tiada isu kekurangan guru yang kritikal di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat isu mengenai penempatan guru disebabkan pengkhususan mata pelajaran mengajar atau dikenali sebagai pengajaran pilihan dan perkara berkaitan keluarga.

“Ia adalah satu dasar untuk meletakkan pasangan suami isteri bersama dalam lokasi yang sama. Kami tidak mahu suami mengajar di Lundu, manakala isteri mengajar di Lawas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Pada perkembangan yang sama, Sagah yang juga Adun Tarat menyatakan kementeriannya juga telah mencapai nisbah 90:10 guru Sarawak kepada Bukan Sarawak.

“Kita berterima kasih Kementerian Pendidikan Malaysia atas usaha untuk mencapai nisbah seperti yang dicita-citakan oleh semua rakyat Sarawak,” katanya.

Suara Sarawak