ULANG TAHUN…Abang Johari (tengah) memotong kek sempena sambutan jubli platinum ke-70 SCCI.

KUCHING: Potensi yang terdapat di Sarawak menarik minat tiga bank antarabangsa untuk menyambung semula operasi mereka di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tiga bank tersebut pernah membuka pejabat di negeri ini sebelum menghentikan operasi berikutan industri perkayuan jatuh sebelum ini.

“Kini mereka kembali ke Sarawak kerana potensi yang ada menjelang 2030.

“Itu adalah keyakinan pihak institusi kewangan terhadap ekonomi kita dan dalam dasar ekonomi yang kita usahakan untuk menambah nilai sumber yang tidak ada di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Jubli Platinum ke-70 Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak (SCCI), di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta kenamaan yang lain.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menggesa SCCI untuk bersama pelabur tempatan dan asing serta institusi perbankan untuk menceburi sektor tenaga yang boleh diperbaharui.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah Usahawan Master dan Anugerah Keusahawanan Cemerlang kepada enam penerima.

Antara penerima adalah Datuk Chris Chung Soon Nam mewakili SSCI, Datuk Bobby Ting Sie Ching mewakili Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak, Dennis Chin Ching Chung mewakili Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuching, Lesley Luyoh Akah mewakili Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak dan Mejar (K) Datuk Ling Kiong Hua manakala Datuk Seri Dr Tay Chin Kin menerima Anugerah Keusahawanan Cemerlang.

TAHNIAH….Abang Johari (empat kiri) menyampaikan Anugerah Keusahawan Master kepada Dennis Chin mewakili Dewan Perniagaan dan Industeri Cina Kuching sambil disaksikan oleh Awang Tengah (dua kiri) serta yang lain.

Suara Sarawak