CHIENG menunjukkan peta jalan-jalan yang sedang dinaik taraf itu.

SIBU: Sebanyak tiga jalan di Kampung Sentosa, Salim di sini sedang dinaik taraf susulan sering dilanda banjir kilat hingga menyukarkan penduduk di kawasan itu.

Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek ketika ditemui pemberita semasa pemeriksaan projek tersebut hari ini berkata, satu daripada bahagian jalan itu terletak di Jalan Bukit Lima Timur manakala dua lagi di Jalan Sentosa.

“Jumlah kos projeknya bernilai RM600,000 dan baru sahaja diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat lepas (4 November) dan hari ini (Rabu) dengan bantuan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk memulakan kerja-kerja naiktarafnya,” ujar beliau.

Chieng juga berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan disiapkan dalam masa seminggu bagi memastikan ia sedia untuk digunakan pada musim tengkujuh.

“Ianya sangat susah. Setiap kali banjir kilat, air naik sehingga satu meter tinggi. Amat sukar bagi penduduk untuk keluar masuk (kerana sebahagian jalan adalah jalan utama) untuk ke sekolah dan bekerja.

“Jalan itu akan ditinggikan dengan batu kemudian ia akan diturapkan dengan tar. Bagi longkang ia tidak termasuk dalam projek menaiktaraf ini bagaimanapun kita akan berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan air dapat dialirkan keluar pada waktu hujan,” katanya.

Turut hadir bersamanya ialah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Lanang Wong Ching Yong.

CHIENG (kanan) dan Ching Yong ketika meninjau kerja-kerja naik taraf jalan tersebut.

Suara Sarawak