KUCHING: Kerusi Parlimen Santubong menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Seri Nancy Shukri dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) calon Bebas, Affendi Jeman dan calon Amanah, Mohamad Zen Peli.

Ia selepas semua borang pencalonan yang diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Santubong pagi semalam berjaya melepasi tapisan.

Nancy tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Sri Melati, Institut Kemahiran Mara (IKM) jam 7.15 pagi.

UMUM… Sophi Jebal tiga calon yang bertanding di kerusi Parlimen Santubong

Turut hadir tiga Adun GPS iaitu Azizul Adenan, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketibaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ke PPC sebelum itu turut diiringi lebih 800 orang penyokongnya yang berarak sejauh kira-kira lebih satu kilometer ke pusat penamaan.

Beliau kemudian menyerahkan borang pencalonannya yang dicadang oleh Azizul Adenan dan disokong oleh Rosmah Zaini.

Manakala calon Bebas, Affendi Jeman tiba di Pusat Penamaan Calon pada jam 8.40 pagi bersama-sama pencadang Dayang Roshaima Abang Hassimsah dan penyokong Salmi Bujang

Calon Amanah, Mohammad Zen Peli tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.30 pagi yang turut diringi pencadang, Yunus Rabuan dan penyokongnya, Zainudin Rayak.

Tepat jam 11.03 pagi, Pegawai Pengurus PRU-15, Sophi Jebal bagi kawasan Parlimen Santubong mengumumkan tempoh penamaan telah pun tamat.

“Saya telah menyemak, berpuas hati memutuskan tiada calon yang ditolak kertas penamaannya dengan ini saya mengumumkan calon sah bertanding.

“Nancy Shukri dari parti GPS, Affendi Bin Jeman bebas dan Mohamad Zen Peli PH, Pusat mengundi akan dimaklumkan di borang yang akan dipamerkan di pusat mengundi,” katanya.

Ternyata proses penamaan calon pilihan raya kali ini sedikit berbeza berbanding PRN Sarawak apabila kawasan pusat penamaan calon dibanjiri ribuan penyokong dari parti yang bertanding.

Di Santubong, kelihatan penyokong dari GPS dan BN berkumpul di perkarangan pusat namun keadaan terkawal dan tiada sebarang kekecohan berlaku.

Kerusi Parlimen Santubong sebelum ini disandang Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sejak 2004.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) beliau menang dengan majoriti 19,485 undi menewaskan pencabarnya Fidzuan Zaidi dari PKR.

Bagaimanapun Wan Junaidi telah mengambil keputusan untuk undur diri sebelum Nancy diumumkan sebagai calon bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu.

Untuk rekod, Parlimen Santubong merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Demak Laut, Pantai Damai dan Tanjong Datu yang mempunyai 79,232 pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Suara Sarawak