KUCHING: Polis Sarawak akan terus melakukan pemantauan dan menempatkan anggota di kawasan parlimen sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata ia bagi memastikan proses pilihan raya terutama dalam soal keselamatan berjalan lancar.

“Saya menasihatkan sekali lagi calon dan parti parti bertanding mengambil langkah bijak dalam menjalankan kempen semasa proses pilihan raya.

“Polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang jika terdapat laporan yang boleh mengganggu dan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses penamaan calon di Dewan Sri Merpati IKM Kuching pada Sabtu.

Di Kuching katanya terdapat tiga kawasan Parlimen, namun setakat ini tiada isu yang berlaku di kawasan tersebut.

“Berdasarkan pemerhatian, sehingga kini semua proses penamaan calon di tiga Parlimen di Kuching berjalan lancar.

“Dalam proses itu Polis Sarawak mengatur gerak seramai 63 pegawai kanan dan 268 anggota bertugas semasa hari penamaan calon di tiga kawasan Bandar Kuching, Petra Jaya dan Santubong,” katanya.

Untuk rekod, Polis Sarawak telah menyediakan lebih 7,000 kekuatan anggota bertugas sepanjang tempoh PRU15 di seluruh Sarawak.

Suara Sarawak