GAMBAR: RAMIDI SUBARI
Datuk Seri Fadillah Yusof GAMBAR: RAMIDI SUBARI

KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu terus memperjuangkan tiga perkara utama yang masih perlu ditambah baik di kawasan tersebut.

Katanya, ketiga-tiga perkara itu merangkumi isu kesesakan lalu lintas, pendidikan ke arah teknologi digital dan rumah mampu milik penduduk setempat.

Fadillah yang mewakili Petra Jaya selama empat penggal mengakui Parlimen itu merupakan antara kawasan bandar yang masih berhadapan dengan masalah kesesakan lalu lintas.

“Kita memerlukan perancangan bukan sahaja menambah baik infrastruktur tetapi juga menggunakan teknologi untuk menguruskan trafik secara efektif dan efisien.

“Ini termasuk apa yang telah kita rangka di peringkat negara misalnya Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan mungkin memperkenalkan di Petra Jaya selepas ini,” katanya.

Tambahnya, beliau juga mahu memfokuskan pembangunan pendidikan dengan engadakan kerjasama erat bersama pihak sekolah bagi menyemai kecintaan pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Mengulas lanjut, beliau mengakui cabaran rumah mampu milik perlu difokuskan demi meningkatkan sosio ekonomi khususnya kepada penduduk Petra Jaya.

“Petra Jaya dalam bandar, kos kehidupan adalah tinggi.

“Untuk itu, kita kena bantu bagaimana cara untuk meningkatkan pendapatan rakyat sini,” ujarnya.

Justeru katanya, adalah penting jalinan kerjasama erat bukan sahaja di peringkat politik tetapi juga agensi pelaksana dan tenaga pengajar dalam bersama menggerakkan inisiatif tersebut.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan peranti MediaPads kepada pelajar sekolah bagi kawasan Tupong, Samariang dan Satok di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini hari ini.

Sebanyak 77 unit peranti telah diagihkan kepada para pelajar di 14 buah sekolah melibatkan empat sekolah menengah dan 10 buah sekolah rendah.

Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Ts Dr Zaidi Razak.

Suara Sarawak