KUCHING: Keputusan bekas ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyallau Badak, 71, keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) lalu menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah wajar.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan bekas wakil rakyat itu perlu dihargai dan seharusnya menjadi teladan kepada parti-parti lain di Sarawak untuk mengikuti perjuangan GPS.

“Kalau wakil rakyat tersebut dah memberi sokongan dan keluar daripada PSB, itu maknanya beliau sudah bersama dengan kita.

BERCAKAP….Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof

“Kita menghargai, terima kasih dan harapan kita agar parti-parti lain di negeri ini juga mengikuti GPS,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan pusat penjaja Jalan Astana di sini, semalam.

Tegas calon GPS Parlimen Petra Jaya itu, tindakan yang diambil Nyallau ada wajar dilakukan kerana pihaknya merupakan parti yang mempunyai rekod memberi khidmat terbaik memperjuang dan mempertahankan hak Sarawak demi kepentingan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata kenyataan calon DAP Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen bahawa Pakatan Harapan (PH) menjadi ‘check and balance’ hanyalah sebagai retorik sahaja.

“Yakinlah itu hanya retorik. Bila mereka memerintah dahulu, 22 bulan, itu sudah terbukti kepentingan Sarawak sudah terhakis.

“PH janji pun tidak dapat ditunai,” ujarnya.

Suara Sarawak