Gambar hiasan

KUCHING: Lapan sektor ekonomi di Mukah telah dikenal pasti untuk terus dibangunkan bagi mewujudkan peluang pekerjaan penduduk di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, ia bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk membangunkan Mukah sebagai bandar pintar.

Menurutnya, lapan sektor tersebut merangkumi sektor pendidikan, komunikasi dan teknologi, pertanian, bioteknologi, perikanan, kebudayaan, makanan dan pembuatan.

“Pembangunan dan perkembangan lapan sektor ekonomi tersebut dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya menjawab pertanyaan Adun Tellian, Royston Valentine dalam persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, Malcolm menegaskan Kerajaan Sarawak menerusi kementeriannya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat menggalakkan pelaburan di negeri ini khasnya di Mukah.

Sementara itu, Malcolm menjawab terdapat enam kemudahan infrastruktur telah disediakan di Mukah termasuk dua loji penjana kuasa arang batu, lapangan terbang, institusi pengajian tinggi, pusat digital komuniti, hab digital inovasi Mukah serta 15 pusat ekonomi digital keluarga Malaysia (PEDi).

Malcolm menambah, turut diperuntukan sebanyak 600 buah menara di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) bagi fasa 1 dan 2 di kawasan luar bandar Sarawak.

Daripada jumlah tersebut katanya, 33 menara baharu telah diperuntukkan di Mukah dengan 11 menara telah siap dibina dan akan beroperasi suku kedua 2023, manakala 22 menara dijangka beroperasi hujung 2023.

Dalam pada itu, menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Malcolm memberitahu sebanyak 52 menara di Mukah dan dijadual siap secara berperingkat hingga suku keempat 2023.

Selain itu katanya, tiga projek Anjung Usahawan sedang dalam perancangan di mukah merangkumi Balingian, Daro dan Dalat serta projek taman perindustrian di Dalat.

Suara Sarawak