Fadillah ketika ditemu bual wartawan selepas merasmikan program Petra Jaya STEM Tour bersama-sama Angkasawan Negara Mejar Dr Faiz

KUCHING: Promosi berterusan menerusi platform dalam talian serta lawatan rumah ke rumah perlu dilakukan untuk memastikan masyarakat turun pada hari mengundi kelak.

Penyandang Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berikut merupakan langkah yang diambil bagi memastikan peratusan turun mengundi pada hari tersebut meningkat.

“Kita buat promosi melalui media sosial, ziarah ke setiap pintu di sesebuah kawasan dan sebagainya untuk menggalakkan orang ramai turun mengundi.

“Inilah usaha kita memastikan orang ramai peka dan turun menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang jatuh pada 19 November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Petra Jaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Tour bersama-sama Angkasawan Negara Mejar Dr Faiz, di Dewan Serbaguna Kampung Demak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah menekankan bahawa cabaran yang dihadapi untuk memastikan pengundi turun mengundi adalah keberadaan mereka.

“Ramai pengundi kita mahu balik untuk mengundi, tetapi kos untuk pulang masih tinggi dan keupayaan kita untuk membantu juga terhad.

“Susulan itu, kita sentiasa mencari cara untuk membantu mereka pulang mengundi. Mungkin kita akan cari penaja untuk memberi subsidi kepada individu yang ingin pulang untuk mengundi,” katanya ringkas.

Suara Sarawak