SEJAK 2017, Kerajaan Sarawak telah mengemudi perjalanan transformasi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri digital.

Visi untuk mencapai rangkaian digital di seluruh Sarawak dan status berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Meskipun berdepan pelbagai rintangan, namun inisiatif itu berjaya dilaksanakan sehingga menyaksikan pedalaman Sarawak kini juga sudah dapat berhubung secara digital dengan seluruh dunia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dapat dilihat komuniti Sarawak semakin bijak di samping menerima pendigitalan seiring dengan perkembangan global.

Komuniti di luar bandar telah pun menikmati capaian yang berterusan dengan pengalaman jalur lebar yang pantas dan stabil serta mampu milik.

Dengan dunia digital, kita tidak dapat lari daripada penggunaan Internet dalam kehidupan seharian.

Kesalinghubungan digital kini telah menjadi satu keperluan dan bukan lagi suatu kemewahan.

Segala itu dicapai menerusi projek Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART), yang turut memanfaatkan komuniti pedalaman di Kapit.

Hari ini, SMART yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) merupakan bukti bahawa penduduk pedalaman Sarawak tidak akan ketinggalan dari aspek transformasi digital.

Ia sekali gus merealisasikan visi Kerajaan Sarawak menjadi wilayah maju dengan perkembangan ekonomi yang didorong oleh data dan inovasi.

Dengan pelancaran SMART, semua pengendali rangkaian seperti Digi, Maxis, Celcom dan UMobile kini boleh memanfaatkan infrastruktur yang dilaburkan oleh kerajaan dan peralatan untuk meluaskan jejak liputan mereka ke kawasan luar bandar dengan memanfaatkan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN).

Inisiatif SMART juga akan membuka peluang dunia untuk komuniti di pedalaman dan mereka boleh mengambil bahagian dalam ekonomi digital dengan menggunakan rangkaian yang disediakan untuk mengakses platform e-dagang.

Justeru, SDEC menyasarkan penyiapan 600 tapak SMART dari Sematan hingga Lawas, agar 93.6 peratus kawasan berpenduduk di Sarawak akan diliputi Internet.

Di Kapit misalnya, sebanyak 51 SMART telah dirancang dan akan dibina di seluruh wilayah terpencil itu dengan 14 daripadanya berada dalam fasa satu, manakala selebihnya siap di bawah fasa dua.

Selain SMART, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) iaitu antara komponen di bawah inisiatif Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN).

SALURAN merupakan satu inisiatif oleh Kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan kawasan luar bandar dengan menambah baik liputan 4G di kawasan luar bandar dengan membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan data dan membuat panggilan dengan lancar.

Di samping menyediakan perkhidmatan mudah alih, inisiatif SALURAN juga membolehkan perkhidmatan jalur lebar rumah melalui MySRBN.

Dengan MySRBN, seluruh keluarga boleh mempunyai akses kepada Internet, tulang belakang ekonomi digital.

Bahkan, bagi merealisasikan visi menyediakan liputan Internet yang menyeluruh, Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk membina sebanyak 7,000 menara telekomunikasi di seluruh kawasan berpenduduk di negeri ini.

Ini diharap dapat dicapai sepenuhnya dan ia menuntut perpaduan serta keharmonian masyarakat di Bumi Kenyalang ini, dengan terus menyokong hasrat dan dasar kerajaan untuk menjadikan Sarawak maju dan makmur menjelang 2030.

Suara Sarawak