KUCHING: Polis menahan tiga lelaki kerana menerbangkan dron tanpa sebarang permit yang sah di kawasan larangan semasa hari penamaan calon semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian pertama berlaku di Daerah Kuching, dalam pusat penamaan calon Parlimen Petra Jaya.

Katanya, suspek, 40, ditangkap dan sebuah dron miliknya dirampas di sebuah rumah, Jalan Semarak, Petra Jaya pada semalam kira-kira jam 9.20 pagi.

“Kejadian kedua berlaku di Daerah Serian. Polis telah menahan dua lelaki umur lingkungan 30-an di kawasan penamaan calon Parlimen Serian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas, seunit dron, seunit alat kawalan jauh dan seunit telefon bimbit daripada kedua-dua suspek.

Ekoran kejadian tersebut, katanya, pihak polis telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan/ Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPN) 2016.

“Ketiga-tiga suspek yang ditangkap telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai,” ujarnya.

Jelasnya, kertas siasatan akan dilengkapkan sepenuhnya dengan kadar segera untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan dan keputusan selanjutnya.

Selain itu, Mohd Azman berkata, pada Sabtu, Polis Sarawak telah meluluskan 16 permohonan permit ceramah kepada parti-parti politik sempenan PRU-15 di seluruh negeri.

Katanya, pihak polis mendapati ceramah yang telah dilaksanakan oleh parti-parti terlibat telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Beliau sekali lagi mengenaskan supaya tidak melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan sepanjang proses PRU-15 mulai hari penamaan calon sehinggalah hari pembuangan undi demi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya

Suara Sarawak