SARIKEI: Satu rakaman video yang memaparkan tiga buah lori dipandu melawan arus yang didakwa berlaku di jajaran Pan Borneo Julau-Sarikei di sini tular dalam media sosial hari ini.

Justeru, rakaman berdurasi 1.56 saat yang dimuat naik oleh Unit Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melalui laman rasmi mereka itu telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Tegas Unit Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, perbuatan itu juga didakwa berkenaan amat berbahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain dan boleh mengakibatkan kemalangan maut.

Tangkap layar laman Unit Lebuhraya Pan Borneo Sarawak menunjukkan beberapa buah lori dipercayai melawan arus di Jalan Pan Borneo Julau- Sarikei.

“Kita mahu semua pengguna Lebuhraya Pan Borneo mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Sayangi nyawa anda dan ambil kira keselamatan orang lain serta orang yang mereka sayangi,” katanya.

Difahamkan, Pegawai Trafik Perunding Pengurusan Projek (PMC) tampil membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, polis telah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.

Polis katanya, akan melakukan tindakan susulan melalui operasi yang akan dijalankan Jalan Kanowit Julau Durin (KJD) minggu ini.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas. Justeru, jangan bersikap sambil lewa atau mengambil mudah, kerana perbuatan itu (melawan arus) membahayakan nyawa orang lain,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintendan Andam Sulin Brayun ketika dihubungi berkata, IPD Julau akan melakukan ops bersepadu bersama polis cawangan lain dalam masa terdekat.

Suara Sarawak