MENGUNDI harus dilakukan setiap individu yang telah diberikan hak untuk mengundi bagi memilih kerajaan yang dimahukan.

Ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap rakyat kerana kuasa untuk memilih telah dikembalikan.

Setiap orang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang diinginkan, dari aspek pengurusan pentadbiran, ketelusan dalam menjalankan tugas, keprihatinan terhadap rakyat dan sebagainya.

Inilah masa untuk rakyat turun mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kerajaan yang paling layak (daripada perspektif masing-masing) untuk mentadbir pada penggal kali ini.

Tambahan, umur pengundi juga sudah dikurangkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun ke atas, sekali gus menambah jumlah pengundi secara keseluruhan untuk pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun, tidak semua remaja berumur 18 tahun layak mengundi kerana perlu melihat kriteria yang telah ditetapkan.

Remaja yang dibenarkan mengundi mesti lahir antara 1 Januari hingga 31 Ogos 2004, bagi melayakkan diri untuk mengundi mengikut pewartaan tempoh oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi remaja yang lahir pada atau selepas 1 September 2004, tidak layak mengundi kerana SPR tidak merangkumi mereka sebagai pengundi kali pertama.

Justeru, anak muda yang layak dan diberikan tanggungjawab ini perlu memainkan peranan menjalankan tugas yang diamanahkan demi menentukan kestabilan politik.

Ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam memastikan jumlah yang menentukan pemimpin negara betul-betul mewakili semua peringkat umur, sekali gus memberi kesegaran dari segi kepimpinan parti politik dan dasar kerajaan.

Setakat ini, dianggarkan 1.14 juta belia mengundi untuk kali pertama daripada jumlah keseluruhan iaitu 21.1 juta pemilih berdaftar.

Ini sekali gus merekodkan jumlah paling ramai dalam sejarah pilihan raya di negara ini, ekoran pelaksanaan Undi 18.

Tanggungjawab untuk mengundi perlu dilaksanakan, tidak kira di mana keberadaan masing-masing.

Justeru, wujudnya undi pos bertujuan untuk memudahkan mereka yang berada di luar kawasan untuk menunaikan tanggungjawab.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara telah dibuka sejak 10 Oktober lalu.

Manakala, permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C Agensi / Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian.

Justeru orang ramai digesa untuk bersama-sama meluangkan masa untuk mengundi agar proses pemilihan kerajaan dapat dilakukan secara adil dan menyeluruh.

Cabaran yang dihadapi buat masa ini adalah pergerakan para pelajar untuk turun mengundi di kawasan masing-masing, kerana perlu menanggung kos penerbangan yang kini agak mahal.

Yang pasti, bagi majoriti pengundi yang tiada kekangan, tunaikanlah amanah demi demokrasi.

Suara Sarawak