Tunaikan janji, ikrar ketika kempen
Gambar hiasan

BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sarawak semakin panas.

Parti yang bertanding pula giat mempersiapkan senjata masingmasing.

Bagaimanapun, cara berjuang, terpulang kepada parti atau gabungan, sebab yang dimahukan oleh rakyat ialah setiap janji dan ikrar ditunaikan.

Setiap parti juga mempunyai pendekatan tersendiri, ada yang terbukti menunaikan janji mereka dan ada juga hanya tinggal kenangan.

Jadi, bagaimana PRU-15 ini? Kempen pilihan raya kali ini ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 18 November ini (Sabtu). Yang sering menjadi perhatian ialah perkara yang dijanjikan dalam manifesto mereka.

Adakah berjaya dilaksanakan atau hanya janji manis semata-mata?

Sehubungan itu, Premier Sarawak yang juga Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan, apa-apa yang dijanjikan akan ditunaikan.

Beliau memaklumkan manifesto gabungan itu bukan janji kosong tetapi aku janji yang akan ditunaikan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sarawak yang mampan.

Kali ini juga, GPS menggariskan lima tonggak utama dalam manifesto bertemakan “Menjamin Sarawak Stabil, Maju, Makmur”.

Daripada lima tonggak itu, yang pertama menjanjikan politik, sosial, ekonomi dan kewangan stabil serta mampan yang diterajui kepimpinan yang mengutamakan masa depan Sarawak.

Kedua, memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan bandar serta luar bandar dititikberatkan, demi kesejahteraan rakyat.

Ketiga, menjamin transformasi ekonomi dan pelbagai sumber kewangan mampu meningkatkan pendapatan bagi memacu pembangunan Sarawak.

Tonggak keempat pula menyediakan latihan modal insan dan keadilan sosial serta agama diutama.

Kelima, memastikan tadbir urus cekap dan berintegriti berprestasi tinggi sebagai pemangkin kemajuan Sarawak.

Dalam hal berkaitan, GPS juga berjanji dan komited untuk melaksanakan 25 teras dalam lima tonggak utama manifesto tersebut, sekali gus menjamin semua lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar mendapat sokongan yang wajar.

GPS juga komited menawarkan manifesto yang menyeluruh dan inklusif. Manifesto kali ini memberi perhatian kepada golongan berpendapatan rendah termasuk B40 dan M40, pelajar sekolah, warga emas, kanak-kanak dan penjawat awam serta mereka yang tinggal di bandar dan luar bandar.

Sudah pasti semua perkara yang dijanjikan itu memberikan manfaat bukan sahaja kepada negeri tetapi rakyat.

Mungkin ada yang mempersoalkan projek dijanjikan sebelum ini juga belum siap atau masih berada dalam fasa pembinaan.

Rakyat perlu faham bahawa pembangunan tidak dapat dilaksanakan sekelip mata tetapi memerlukan masa.

Setidak-tidaknya dengan kerajaan yang stabil, kita boleh menikmati pembangunan walaupun secara berperingkat.

Ini janji untuk memastikan generasi muda boleh menikmati kemudahan yang lengkap.

Untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan bukti janji itu dikotakan, rakyat harus memilih kerajaan yang tepat untuk memimpin dan itu perlu dinilai oleh mereka sendiri.

Suara Sarawak