Gambar hiasan

PILIHAN Raya Umum Ke -15 (PRU-15) mencatat sejarah dalam pilihan raya Malaysia apabila memberi peluang kepada golongan belia berumur 18 tahun ke atas untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Sebelum ini hanya mereka berumur 21 tahun ke atas boleh mengundi dan Langkah itu dikatakan selari dengan langkah yang dilaksanakan oleh sebahagian besar negara yang membenarkan anak muda berumur 18 tahun ke atas mengundi.

Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan PRU merupakan platform terbaik pengundi muda menunaikan tanggungjawab ubah landskap pilihan raya mereka buat kali pertama di peringkat Parlimen.

Golongan muda sering kali mengekspresi dan menyatakan apa-apa sahaja pandangan melalui media sosial, malah mereka merupakan pengguna terbesar medium tanpa sempadan itu kerana bukan sahaja menarik tetapi juga mudah diakses di mana-mana sahaja.

Justeru pilihan raya kali ini merupakan peluang terbaik untuk mereka tampil memilih pemimpin bakal menerajui kepimpinan negara berbanding hanya melontarkan pandangan dan komentar melalui media sosial.

Apa yang lebih menarik, sebahagian besar mereka adalah pengundi baharu mewakili orang muda berusia 18 tahun yang berdaftar sebagai pemilih secara automatik.

Perubahan itu secara tidak langsung mendorong peningkatan jumlah pemilih untuk PRU-15 kerana generasi muda ini menjadikan kumpulan pengundi baharu ini mewakili 34 peratus daripada keseluruhan angka mereka yang layak mengundi.

Pada masa sama, tiga daripada 10 pengundi kali ini adalah orang baharu sekali gus mencipta kelainan dalam komposisi undian yang bakal mengubah landskap tradisi pilihan raya negara.

Sudah pasti, kehadiran sejumlah besar ‘orang baharu’ ini bakal mengubah senario politik semasa apatah lagi jika semua mereka turun menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, perkembangan pesat teknologi maklumat yang mewujudkan persekitaran ‘kaya media’ menjadikan media sosial terus mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

Maklumat atau sumber pengetahuan bukan sahaja amat mudah diperolehi ditambah pula dengan aplikasi bersifat interaktif, elemen grafik, bunyi dan video menarik.

Berbeza keadaannya dengan generasi terdahulu, pengundi muda hari ini terdedah dengan maklumat yang cepat dan pantas.

Sudah pasti, itu merupakan satu keberuntungan yang tidak dinikmati oleh generasi terdahulu. Bagaimanapun, mereka perlu menerima dan menggunakan teknologi tersebut sebaik yang mungkin berdasarkan situasi dan keadaannya.

Walaupun teknologi komunikasi massa terutamanya media baharu semakin pantas berubah mengikut arus kemodenan namun, masyarakat belia hari ini perlu bijak berfikir.

Ini kerana, permasalahan yang timbul adakalanya berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang sesuatu isu yang ditimbulkan.

Penggunaan tanpa batasan, akses tidak terhad, malah boleh digunakan oleh sesiapa dan di mana-mana sahaja, menuntut anak muda supaya bijak menilai antara yang benar atau sebaliknya.

Mereka juga perlu memanfaatkan teknologi tanpa batasan itu dengan sebaik-baiknya sejajar dengan peranan sebagai penentu barisan kepimpinan yang bakal menerajui negara pada masa depan.

Suara Sarawak