Martin Ben

KUCHING: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) kini bertanggungjawab menerajui pembangunan Skim Penempatan Semula (SPS) Rascom Nanga Jangau, Nanga Ngungun dan Nanga Tada.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak II, Martin Ben berkata, ketiga-tiga kawasan tersebut telah dirangkumi dalam pelan perancangan sosioekonomi 2022-2026 URDA.

Katanya, inisiatif itu bagi memastikan tiada kawasan ketinggalan dari segi pembangunan menjelang tahun 2030.

“Kerajaan telah menyediakan pelan pembangunan komprehensif bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan efektif dan memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ngemah, Anyi Jana mengenai perkembangan terkini pelan pembangunan SPS RASCOM Ketiga-tiga kawasan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurut Ben, tiga pembangunan utama turut dirangka bagi pembangunan kawasan RASCOM tersebut sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan sosioekonomi penduduk.

Mengulas lanjut, Ben memberitahu kerajaan GPS telah merangka sebanyak tujuh strategi dan inisiatif bagi membangunkan kawasan pengeluaran pertanian termasuk pembukaan kawasan baharu dan penambahbaikan kawasan sedia ada.

Suara Sarawak