PENUBUHAN Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) sebagai salah satu inisiatif penting kerajaan mentransformasi luar bandar dan memastikan pembangunan yang dilaksanakan berada pada landasan betul.

Pengerusi RADDA, Datuk Len Talif Salleh menjelaskan, penubuhan agensi itu dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas positif daripada rakyat mengenai kejayaan agensi lain seperti Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan Agensi Pembangunan Betong (BDA).

“Penubuhan kesemua agensi ini merupakan bukti kesungguhan kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam segenap aspek, selain menyerlahkan kelebihan dan keunikan yang ada di setiap kawasan di Sarawak.

“Ia sekali gus memudahkan kesinambungan pembangunan, di samping memberi impak besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Di bawah RADDA misalnya, projek infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik merupakan antara aspek terpenting yang akan diberi keutamaan, selain tidak mengetepikan pembangunan sumber manusia dan sistem penyampaian.

Dengan kata lain, ujar beliau, RADDA bertindak sebagai penyelaras akan memudahkan lagi usaha kerajaan mengurus tadbir kawasan di bawah bidang kuasanya, sekali gus melicinkan agenda pembangunan yang dirancang.

Sebahagian besar kawasan RADDA merangkumi bahagian Mukah, terkenal dengan keunikan yang tersendiri.

Namun setiap daerah dan kampung juga memberi cabaran besar kepada kerajaan untuk melaksanakan agenda pembangunan.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, jalan raya dan jambatan merupakan infrastruktur asas penting kerana kawasan ini ‘terpisah’ berikutan ketiadaan kemudahan berkenaan.

“Malah, masih ada kawasan yang hanya dapat dihubungkan melalui sungai dan laut.

“Dengan adanya kemudahan asas yang lengkap, maka pengeluaran hasil pertanian dapat ditingkatkan dan pendapatan para petani juga akan bertambah,” katanya.

Langkah ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 selain menjadikan Sarawak sebagai wilayah maju menjelang 2030.

Suara Sarawak