KUCHING: Sebuah video tular berdurasi 47 saat memaparkan seorang lelaki mencabut 21 batang bendera milik Gabungan Parti Sarawak (GPS), di sini hari ini, bukan perbuatan khianat.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi di sekitar Jalan Pending, berhampiran SMK Chung Hua Middle School No.1.

“Siasatan pihak polis mendapati ia bukan perbuatan khianat atau perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Pihak jentera parti GPS (SUPP) telah mengesahkan bahawa bendera-bendera tersebut diturunkan oleh kontraktor dilantik untuk dipindahkan ke lokasi lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sebarang isu pilihan raya bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berjalan dengan lancar dan dalam suasana harmoni.

Suara Sarawak