Fadillah dan Sharifah Hasidah ketika meluangkan masa bersama-sama para belia semasa program sembang santai belia di Jalan Haji Taha di Kuching hari ini.

KUCHING: Tawaran kestabilan negara dan tuntutan Sarawak akan menjadi faktor utama kepada penentu sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada parti dominan yang akan mentadbir Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebarang keputusan yang dibuat kelak bergantung kepada siapa yang dapat memberi jaminan berkenaan.

“Sebab itu GPS bertanding atas tiket sendiri dan kita akan teruskan perjuangan untuk mempertahankan dan mengangkat martabat negeri dan orang Sarawak.

“Inilah matlamatnya, kita sokong bergantung kepada siapa yang boleh mewujudkan kestabilan negara dan dapat memenuhi kehendak serta tuntutan Sarawak,” katanya.

Fadillah yang juga calon GPS- Petra Jaya berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program santai bersama belia di Jalan Haji Taha di sini, hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, dakwaan pembangkang menyatakan GPS akan menyokong Barisan Nasional (BN), sebenarnya tindakan memutarbelitkan fakta.

Malah sebelum ini Parti Tindakan Demokratik (DAP) pernah bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan campuran di Perak.

“Kalau Chong Chieng Jen menyatakan undi terhadap GPS akan membantu Umno dan BN, adakah beliau lupa ketika mereka bekerjasama dengan BN di perak untuk menubuhkan kerajaan campuran, dia kata inilah wawasan baharu politik Malaysia. Jadi, maknanya itulah putaran alam,” katanya.

Suara Sarawak