Voon Lee Shan (tengah) bersama-sama empat yang lain hadir ke Mahkamah Majistret di Kuching, hari ini.

KUCHING: Pihak polis membebaskan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan bersama-sama empat ahli parti lain yang ditahan berhubung tiga video berbaur perkauman tular di media sosial.

Kelima-lima mereka ialah Phang Aik Hua, 59; Chan Chee Wei, 59; Voon Lee Shan, 67; Danny Voon, 38, dan Lue Cheng Ming di bawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk pendengaran tahanan reman.

Bagaimanapun, pihak polis menarik balik tahanan reman dan laporan serta membebaskan kesemua mereka.

Menurut Peguambela Dominic Ng yang mewakili kelima-lima suspek, mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan tiada kertas pertuduhan dikemukakan.

Tahanan reman yang dikemukakan terhadap mereka mengikut Seksyen Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988.

Kesemua turut diwakili enam lagi peguam yang lain iaitu RJ Noel, Patrick Voon, Tiong Ing Meng, Steven Sia, Alex Kong dan Lim Heng Choo.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menyatakan dua kertas siasatan telah dibuka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di bawah Seksyen 233 Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Pengangkutan Jalan.

Suara Sarawak