KAPIT: Wanita yang dilaporkan hilang ketika pondok di kebunnya dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Long Singut, Baleh, awal pagi tadi ditemukan lemas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan berkata, mayat mangsa, Kau Lencau, 57, ditemui penduduk kampung tengah hari tadi.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada anggota polis yang berada di lokasi untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, mayat mangsa ditemui berdekatan Sungai Engkirik hari ini, namun waktu sebenar penemuan itu tidak dapat dipastikan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi tadi mangsa dilaporkan hilang bersama pondok yang dihanyutkan arus deras akibat banjir kilat.

Ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di pondok di kebun berdekatan Rumah Panjang Long Singut, di sini bersama-sama suami dan seorang cucunya.

Menurutnya, petugas bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi dari IPD Kapit memaklumkan kejadian tersebut.

Lokasi kejadian itu terletak jauh di pedalaman Kapit dengan perjalanan menggunakan pikap memerlukan tiga jam dan kemudian perjalanan diteruskan dengan menggunakan perahu penduduk kampung selama enam jam lagi untuk sampai ke Long Singut.

Suara Sarawak