KAPIT: Seorang wanita dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Long Singut, Baleh, di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataannya berkata, petugas bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi dari IPD Kapit.

Katanya, seramai tiga anggota dikerahkan ke Empangan Baleh bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebaik selesai taklimat.

“Akses ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda mengambil masa perjalanan selama tiga jam.

“Seterusnya, pasukan penyelamat akan menggunakan perahu panjang milik penduduk kampung menyusuri sungai selama enam jam ke Long Singut (lokasi kejadian),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suami serta cucu mangsa bagaimanapun, berjaya menyelamatkan diri.

“Berdasarkan laporan yang diterima, pada jam lebih kurang pukul 4 pagi telah berlaku banjir kilat di kawasan rumah panjang Long Singut.

“Susulan banjir kilat serta arus deras telah menghanyutkan pondok kebun di tepi sungai tempat mangsa dan suami serta cucunya bermalam.

“Sehingga kini, mangsa, Kau Lencau, 57, masih belum dijumpai,” tambahnya.

Suara Sarawak