BERCAKAP… Fatimah bercakap kepada pemberita pada sidang media di Dun Sarawak, di Kuching, hari ini. Foto – Alif Noni

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong pendirian Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg yang menyerahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong memilih Perdana Menteri baharu.Ketuanya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Abang Johari juga telah mengeluarkan kenyataan beliau dan pihaknya menyokong perkara tersebut.

“Ahli wanita GPS menyokong kuat kenyataan dan pendirian yang telah diberikan oleh Abang Johari iaitu menyerahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai keputusan pemilihan Perdana Menteri baharu,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, di sini, hari ini.

GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia.

Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan semalam menyatakan GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan GRS mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Suara Sarawak