Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh anggota polis menuju ke tahanan sementara mahkamah sebelum dibawa ke penjara.

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh Oktavianus, 23, dari Singkawang, Indonesia mengaku bersalah selepas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff, hari ini.

Taufik memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 11 November lepas dan akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tujuan penghantaran balik selepas menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh telah ditahan di sebuah rumah oleh sepasukan polis kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Hasil siasatan mendapati, dia merupakan seorang warga negara Indonesia yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, hasil semakan di Jabatan Imigresen Malaysia mendapati tiada sebarang rekod maklumat yang sah mengenai pergerakan keluar masuk tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak