MAUT DISENGAT SERANGGA…Anggota perubatan sedang memeriksa keadaan seorang lelaki warga emas yang terbaring di Taman Bulatan Awam.

MIRI: Seorang lelaki warga emas ditemui maut dipercayai disengat serangga berbisa di Taman Bulatan Awam Miri kira-kira jam 2.37 petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan telah menerima panggilan dari MERS999 mohon khidmat khas bantuan EMRS bagi mengalihkan mangsa tidak sedarkan diri.

“Komander Operasi melaporkan terdapat mangsa lelaki warga emas dalam keadaan baring serta tidak sedarkan diri dikerumuni serangga yang masih berterbangan sekitar tubuh mangsa,” katanya.

Setelah mengaplikasikan tindakan kaedah RECEO, Pihak bomba mengalihkan mangsa dengan menggunakan baju khas pelindung (bagi tujuan memusnah sarang serangga berbisa).

Mangsa berjaya dialihkan ke kawasan jarak selamat anggaran 30 kaki dari lokasi asal mangsa baring, seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan susulan.

Sehubungan itu, pihak perubatan memaklumkan bahawa mangsa yang tidak sedarkan disahkan meninggal dunia dan operasi mengalihkan mangsa tamat pada jam 4.23 petang.

Sementara, bomba membuat pemeriksaan di kawasan sekitar agar benar-benar selamat, namun hasil penemuan telah menjumpai satu sarang serangga tebuan yang berada di atas pokok dengan anggaran ketinggian 70 kaki dari lantai tanah.️

Menurut Komander Operasi, sekiranya jentera “Sky lift” telah tiba, tindakan memusnahkan sarang serangga tersebut dibuat serta merta atas faktor keselamatan penduduk dan orang awam yang beriadah di taman awam tersebut.

Suara Sarawak