KUCHING: Seorang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan masuk ke Malaysia tanpa dokumen sah dan terlibat dalam aktiviti judi atas talian.

Hakim Mahkamah Sesyen Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan terhadap Nur Hasan, 22, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) kanun yang sama.

Dia yang berasal dari Kampung Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia, didakwa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah ketika ditangkap di kedai makan di Taman Malihah, sekitar jam 6.40 petang, 12 November lepas.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti judi atas talian.

Bagi kesalahan itu, didakwa di bawah Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff dan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak